Skip to main content

Syair Kebanggaan Bangsa Arab


Syair merupakan kebanggaan orang-orang Arab. Syair tidak boleh diandaikan dengan pantun, begitu juga tidak boleh diandaikan dengan gurindam sebab syair adalah syair. Namun untuk membuat satu syair, bukan semua orang Arab mampu. Hanya orang Arab yang mempunyai nilai sastera yang tinggi sahaja yang mampu membuat syair sebab syair mempunyai bahasanya yang tersendiri.
Syair-syair yang hebat pada zaman dahulu akan digantung di Ka`abah sebagai tanda menghormati penyair bersama syair yang ditulis. Peranan syair dalam masyarakat Arab dahulu kala amat penting sehingga menjadi media massa paling berkesan ketika itu. Kalau nak membanggakan seseorang, penyair akan menyebut nama tersebut dalam syair dan kemudiannya penyair akan membaca syairnya di pasar dan pasar yang terkenal zaman dahulu adalah 'suk ukhaz' yang menghimpunkan orang ramai, maka orang ramai akan berebut-rebut memuji penama tersebut kerana penyair masukkan nama tersebut di dalam syairnya. Oleh sebab itu, orang yang tidak dikenali akan menjadi terkenal bilamana penyair memasukkan nama tersebut di dalam syairnya.
Demikianlah pentingnya institusi syair dikalangan masyarakat Arab pada zaman Nabi saw sehingga Allah turunkan satu surah berkenaan dengan syair, iaitu surah 'Asy-Syuara' ayat 226. Dalam surah itu Allah menjelaskan tentang "...mereka mengatakan apa yang mereka tidak lakukan".Dalam ayat tersebut menggambarkan perihal mereka yang pandai omong-omong kosong. Mutakhir ini, kita lihat media massa pandai untuk mengeluarkan berita-berita yang tidak elok,dan ini boleh menyebabkan masyarakat sekarang hanya menerima tanpa membuat kajian dahulu tentang apa yang diperkatakan berita yang tidak elok itu. Jadi pada asalnya, Islam tidak memusuhi syair, tetapi yang dimusuhinya ialah perangai penyair. Syair itu adalah suatu medium, maka sekiranya dimasukkan anasir yang baik, sudah tentu ia menjadi baik. Begitulah juga sebaliknya. Dan begitu juga dengan media massa pada hari ini, kita tak boleh salahkan radio mahupun tv sebab mereka juga hanya alat, tetapi yang patut dipersalahkan ialah penerbit yang menguruskan rancangan-rancangan mungkar di radio dan di tv.
Sebab itu, Islam datang bukan untuk memusnahkan alat-alat itu, akan tetapi Islam datang untuk memperbaharui institusi-institusi yang telah dirosakkan oleh tangan-tangan manusia. Banyak perkara andaikata Islam perbaharui sesuatu perkara , Islam dapat menggantikan dengan yang lebih baik. Contohnya dalam masalah minuman, Islam mengharamkan arak, namun Islam menghalalkan minuman yang lain . Islam haramkan judi, tapi Islam halalkan hadiah. Islam haramkan tenung nasib, tapi Islam ajarkan solat istikhorah. Pendek kata Islam datang bukan untuk merosakkan masyarakat,akan tetapi Islam datang dengan perubahan untuk membangunkan masyarakat dan menolak segala anasir-anasir luar yang merosakkan masyarakat.
Dari Abu Yaman al-Hakam bin Nafi` menyampaikan kepada kami (al-imam Bukhari), katanya Shuib mengkhabarkan kepada kami daripada az-Zuhri katanya: "Abu Salamah bin Abdurrahman bin Auf mengkhabarkan kepada aku bahwa ia mendengar Hassan bin Tsabit al-Ansari meminta kepada Abu Hurairah menjadi saksi kepadanya dengan berkata: "Aku memungut kepada Allah melalui engkau, adakah engkau mendengar Nabi saw bersabda: "Hai Hassan, jawablah syair kaum itu bagi pihak Rasulullah." Kemudian Nabi saw berdoakan kepada Hassan: "Ya Allah, perkuatkanlah dia dengan ruhil qudus (Jibril as)." Jawab Abu Hurairah: "Ya benar
Hassan bin Tsabit adalah sahabat Nabi saw yang pandai dalam syair. Apabila Hassan bin Tsabit masuk Islam, peranan Hassan amat penting dalam syair. Malah Nabi menasihati Hassan supaya bersyair sesuai dengan tuntutannya sebagai seorang muslim. Nabi seorang yang bijak untuk menampilkan sahabat- sahabatnya dengan kemahiran yang mereka perolehi. Contoh yang kit a boleh lihat Saidina Umar al-Khatab yang bersifat garang. Bila Umar masuk Islam, sekali-kali kita tidak pernah dengar Nabi berkata kepada Umar, " jangan garang sangat!"...Malah Nabi minta sifat garang yang ada pada diri Umar tu bersesuaian pada tempatnya. Maka dengan itu, dari hadith Bukhari yang lain juga pernah Nabi saw bersabda, "Sesungguhnya manusia itu bagaikan barang galian yang terpilih semasa jahiliyah, namun terpilih juga semasa Islam."...Jadi, Hassan bin Tsabit juga begitu, beliau seorang yang terpilih dikalangan penyair ketika jahiliyah, namun apabila masuk Islam, beliau terus menggunakan syairnya untuk mempertahankan ajaran Rasulullah saw.
Dalam riwayat di atas kita tengok bagaimana Nabi saw meminta Hassan bin Tsabit bangkit untuk membalas hentaman kaum Quraisy dalam bentuk syair kerana kaum Quraisy menggunakan syair untuk Nabi. Disini kita dapat bagaimana Nabi menggunakan medium yang paling canggih waktu itu untuk menyerang kembali tohmahan-tohmahan yang diterimanya. Nabi saw menggunakan ayat-ayat al-Quran seperti dalam surah 'Asy-Syuara' untuk mematahkan hujah-hujah penyair-penyair kufar Quraisy, Dalam ayat al-quran yang lain ada menerangkan kita perlu bersiap sedia dari segi mana sekalipun untuk menghadapi musuh-musuh Allah."Dan bersiap-sedialah kamu menghadapi musuh dengan apa cara yang kamu mampu." Kalau dulu waktu zaman Nabi, persiapan kuda-kuda amat penting; maka sekarang, kita perlukan kepada kereta-kereta kebal dan jet-jet pejuang. Maknanya perlu mempersiapkan kelengkapan untuk berperang, maka barulah berdoa bertawakkal kepada Allah.
Hari ini kita tengok Islam bukan saja diserang dari segi ketenteraan, malah turut diserang di alam cyber. Jadi yang mahir berhujah dalam internet, buka dan masuklah ke laman-laman musuh Islam, berhujahlah dengan puak-puak kufar dan munafiq secara berhikmah. Sebarkan maklumat tentang Islam semampu mana yang boleh. Orang Islam mesti guna segala kesempatan yang membolehkan dia sampaikan Islam. Bukan mesti tunggu ustaz- ustaz saja yang sampaikan Islam, kita perlu sentiasa memperlengkapkan diri kita dengan ilmu yang banyak untuk melawan hujah-hujah puak kafir Quraisy bagi mencapai misi ini. Bukannya apa, tanpa Islam, kita orang Melayu pasti akan dihina. Inilah yang amat dibimbangi sebab contoh sudah ada di depan mata. Kita dapat lihat Arab pada hari ini? Dulu, segala tamadun yang mereka bina samada di Baghdad mahupun di Sepanyol adalah semata-mata kerana Islam. Hari ini apabila Arab tinggalkan Islam dengan ber"kiblat"kan Amerika, macam-macam kita dapat lihat. Mereka terus untuk bagi habuan pada Amerika, bukan Amerika nak balas jasa baik, malah Amerika bunuh saudara -saudara kita di Iraq. Di sinilah betapa benarnya kata-kata masyhur Saidina Umar al-Khatab, "Kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Apabila kita cari kemuliaan selain dari Islam, Allah pasti hinakan kita!"...Sekarang, betul-betul Allah dah hinakan orang Arab. Dulu, memang orang-orang Arab pakar tunggang kuda, pakar memanah, pakar syair, pintar dan kuat ingatan, walaupun sebelum kedatangan Islam lagi ciri-ciri ini memang ada dalam diri orang Arab. Tetapi mereka tidak dapat memanfaatkan kebolehan mereka itu melainkan setelah Islam datang. Bila Islam datang, barulah terserlah kekuatan orang-orang Arab sehingga Rom dan Parsi jatuh, padahal sebelum itu, mereka sangat-sangat takut kepada Rom dan Parsi. Maknanya,Islam adalah sumber kekuatan orang Arab.Syair adalah medium bagi meneruskan cara berdakwah dizaman sekarang ataupun zaman dahulu.
Syair adalah khazanah penting bahasa Arab selepas Quran dan hadis. Menghafal syair adalah antara asas yang dapat memperkukuhkan penguasaan kita terhadap bahasa mulia ini. Syair menjadi antara rujukan terpenting apabila ahli tafsir ingin menafsir makna sesuatu kalimah dalam Al Quran. Sebab itulah, Ibnu Abbas ada menyebut :

إذا صعب عليكم شيئ من القرآن فالتمسوه في الشعر فإن الشعر ديوان العرب
(Apa kamu menghadapi kesukaran memahami Al Quran carilah penyelesaian dalam syair Arab kerana syair itu adalah diwan orang-orang Arab)
Sesetengah pelajar bahasa Arab merasa cukup terbeban dengan menghafal syair. Bagi mereka syair sukar difahami dan bahasanya cukup membingungkan. Hakikatnya, di sebalik lenggok bahasa dan kerumitan itulah tersimpannya makna keindahan bahasa dan makna yang cukup mengkagumkan kita.
Keseniaan dan kehalusan sastera adalah dua perkara agak sukar untuk dihayati kerana tidak semua insan dianugerahkan minat dan kemahiran bersastera. Namun,sejarah memaparkan kebanyakan bangsa Arab sejak zaman jahiliyah lagi memiliki kemahiran ini.Buktinya,jutaan syair yang sampai kepada kita hari ini tidak dapat disangkal mutu dan kualiti seninya.Sulaman lafaz-lafaz indah dijalinkan dengan uslub balaghi yang cukup halus mampu menyentuh sensitiviti pembaca yang menghayati setiap bait-bait syair.
Persoalannya,bagaimanakah bangsa Arab yang dikenali sebagai bangsa yang kasar dan keras mampu mempelopori bidang ini.Faktor kemasyarakatan antara pendorong utama kebangkitan bangsa Arab dalam mengagungkan syair-syair.Kehidupan sebahagian daripada mereka yang kurang bergiat dalam aktiviti perniagaan dan pertanian memberi kesempatan untuk bersyair bagi memenuhkan masa dengan menggambarkan pengalaman,kehidupan,perasaan malah apa sahaja yang lahir dalam benak hati dan fikiran mereka untuk diadaptasikan dalam bentuk syair.
Pada awal perkembangan syair,bait-baitnya terhasil ilham dari hentakan kaki unta yang mempunyai irama tertentu.Unta pada masa itu merupakan nukleus bangsa Arab yang memainkan peranan penting terutamanya dalam menjalani kehidupan nomad mereka.Namun,tidak semua jenis-jenis syair sesuai dengan irama ini.Justeru,ilmu arudh yang telah terhasil rentetan penemuan Khalil ibnu Ahmad menyaksikan norma baru bagi mendalami kesusasteraan Arab.
Setiap kalimah dalam syair menghasilkan makna yang berbeza,maka tidak hairanlah jika syair menjadi aset penting bagi bangsa Arab untuk digunakan dalam pelbagai situasi.Pada zaman jahiliyah,syair ghazal atau pujian terhadap wanita telah dipopularkan oleh Amru Qais.Bahasa yang digunakan mampu menghuraikan kecantikan seorang wanita sehingga kadangkala pembaca dapat menterjemahkan imaginasinya dalam bentuk konkrit.Selain daripada itu,terdapat juga syair hijak atau cacian yang menjadi punca tercetus api peperangan antara kabilah-kabilah.Syair jenis ini telah diharamkan pada awal kemunculan Islam.Buktinya,Khalifah Umar telah menangkap Khutai’ah yang menggunakan kalimah yang halus dan sangat kesat dalam salah satu syairnya mencaci Zabrakan.
Namun,syair Hasan bin Thabit berjaya mengalahkan propaganda yang dilontarkan oleh orang kafir.Kejayaan ini telah menyingkap sirna baru dalam era menobatkan syair pada zaman Rasulullah.Baginda sendiri menyeru kaum muslimin agar melawan kafir menggunakan mata pedang dan lidah.Mengintai di sebalik tirai peperangan,syair adalah agenda psikologi sebagai vaksin untuk menyuntik semangat mujahidin melawan orang-orang kafir.Pada masa yang sama,syiar Islam dapat diperkembangkan melalui syair-syair ini kepada bangsa Arab.
Pada zaman kerajaan Umawiyah ,terdapat ramai penyair kolar putih telah mengeksploitasi syair untuk menjadi sumber ekonomi mereka.Puji-pujian terhadap khalifah yang kadangkala indah khabar dari rupa sangat banyak dirakamkan dalam lipatan sejarah.Namun,kehadiran Abu Aswad Ad-Duali pada zaman ini menaikkan semula taraf syair bilamana syair-syair tasawufnya mula pengambil tempat di hati orang Islam.Dalam bidang Nahu pula,syair menjadi hujjah kepada sesuatu kaedah Nahu.Ini membuktikan bahawa ulamak Nahu sendiri telah mengiktiraf mutu seni yang terdapat dalam sesebuah syair.
Melalui kronologi perkembangan syair ini,telah terang lagi bersuluh bahawa syair menyumbangkan jasa yang begitu besar dalam kesusasteraan Arab.Tanggapan bahawa syair adalah sesuatu yang tidak ada nilai seni dan tidak kontemporari adalah kurang relevan dan wajar ditolak.Justeru,kita seharusnya menjaga keutuhan syair sebagai medium kesusateraan Arab.

Teori Perkembangan Bahasa
PDF
Cetak
E-mail

Bahasa arab merupakan suatu anugerah paling besar yang Allah kurniakan kepada bangsa Arab.  Sejak zaman jahiliyah lagi ketuanan bahasa syurga ini tidak dapat disanggah oleh mana-mana pihak dek keistimewaan yang tersirat.  Kekayaan bahasa arab dengan kepelbagaian istilah untuk menterjemahkan sesuatu situasi samada konkrit mahupun abstrak telah meletakkannya pada status yang tinggi di kalangan bangsa Arab.  Justeru, tidak hairanlah jika ia menjadi lingua franca atau bahasa perantaraan yang digunakan oleh kabilah-kabilah luar yang datang berdagang di Mekah.
Di samping itu, tekanan bangsa bukan Arab telah memberi ilham kepada kebanyakan pembesar-pembesar bagi menyatukan orang-orang Arab dengan menjadikan bahasa al-quran ini sebagai bahasa rasmi agar sebarang strategi pengukuhan bangsa dapat dilunaskan oleh semua kabilah yang berlainan dialek.

Kemunculan pasar-pasar yang rancak bak cendawan tumbuh telah menjadi medium bagi para penyair Arab untuk mengadaptasikan segala bentuk luahan rasa, permasalah kabilah mahupun puji-pujian yang mengagungkan ketua mereka dalam bentuk syair.Pada zaman ini, pasar bukanlah tempat yang sinonim dengan aktiviti perniagaan, sebaliknya ia menjadi medan pertarungan para penyair mempersembahkan hasil karya mereka.

Melalui kronologi ini, kita dapat menyingkap kepentingan bahasa arab di tanah Arab sejak dahulu lagi.  Namun apakah rahsia Bahasa Arab sehingga ia dinobatkan sebagai bahasa syurga? Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.  Oleh yang demikian, pengetahuan tentang asal usul bahasa perlulah diketahui sebelum menyelusuri dengan lebih mendalam tentang keistimewaan Bahasa Arab ini.

Ramai tokoh-tokoh bahasa telah berselisih faham dalam teori perkembangan bahasa.  Kita perlu sedar bahawa kita sekarang bukanlah mengkaji sejarah bahasa arab, sebaliknya bagaimanakah bahasa yang dipertuturkan oleh setiap individu hari ini boleh terbentuk.  Ada yang menyifatkan bahasa ini lahir daripada ilham yang telah Allah turunkan kepada Nabi Adam alaihissalam.  Pendapat ini dikuatkan lagi dengan kalam Allah yang bermaksud:

“Dan Dia telah mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya” Al-Baqarah:31

Ayat ini menyatakan kepada kita dengan jelas bahawa Allah telah mengajarkan kepada nabi Adam pelbagai nama objek.  Ibn Abbas telah memfokuskan nama-nama ini adalah segala benda yang sudah dikenali oleh manusia dalam ruang lingkup kehidupan kita seperti gunung-ganang, bumi, himar dan lain-lain.

Dalam perbahasan ini, ulamak telah menggariskan  tujuh teori yang lebih cenderung kepada logika akal untuk diterimapakai.  Namun, teori ketujuh yang digagaskan seorang berkulit putih iaitu Sir Darwin telah membuka tirai baru dengan membandingkan fasa perkembangan bahasa dengan fasa peningkatan umur seorang manusia.Pendekatan yang digunakan oleh beliau memberi gambaran jelas kepada kita bahawa bahasa telah mengalami beberapa proses sebelum tersusun menjadi ungkapan yang difahami maknanyaBeliau telah memperincikannya kepada lima peringkat selari dengan proses tumbesaran seorang bayi hingga ke peringkat kanak-kanak.

Pada peringkat yang pertama, anggota penghasilan suara masih belum mencapai tahap matang.  Justeru, suara yang cuba dikeluarkan kurang jelas, meskipun  keinginan untuk bersuara amat tinggi.  Kita dapati keadaan ini sebenarnya telah dialami oleh seorang kanak-kanak seawal usia belajar bertutur.  Mereka tidak dapat menterjemahkan kehendak mereka yang pelbagai dalam bentuk perkataan yang difahami, sebaliknya kita hanya dapat mendengar suara-suara yang tidak jelas maknanya.

Pada peringkat yang kedua, pembentukan suara dibantu oleh isyarat-isyarat sampingan untuk menghuraikan keinginan-keinginan tertentu.Perkembangan keupayaan anggota pembentukan suara yang disaring dengan emosi zatiah menjadi injeksi kepada seseorang individu untuk menjadi lebih peka dan mampu memberi respon serta tindakbalas kepada situasi semasa melalui kepelbagaian suara yang dikeluarkan. Fenomena ini dapat diperjelaskan melalui tindakan seorang kanak-kanak yang menghampiri usia 2 tahun yang sudah dapat bertindakbalas dengan mengeluarkan isyarat suara untuk melahirkan rasa takut, sedih, kecewa, terpaksa dan lain-lain lagi.

Manakala peringkat ketiga dalam proses ini menyingkap tabir kepada seorang kanak-kanak untuk mengintai tahun kedua dalam hidupnya dalam mengenalpasti intipati alam.  Suara pada peringkat ini sudah berpotensi untuk menyebut potongan-potongan perkataan yang difahami maknanya, meskipun potongan perkataan tersebut kurang lengkap.  Contohnya apabila seorang kanak-kanak sudah pandai melahirkan hasrat hatinya, perkataan-perkataan diulang-ulang dan mereka mudah terpengaruh dengan kata-kata yang didengari samada daripada manusia ataupun binatang.

Peringkat keempat memaparkan satu anjakan paradigma dalam tumbesaran seorang kanak-kanak.  Potensi ini dapat dinilai berdasarkan kemampuan seseorang untuk menghasilkan ungkapan-ungkapan yang dapat menggambarkan kehendak dan tujuan mereka secara jelas dan difahami.  Bahasa pada saat ini sebenarnya hampir mencapai  tahap sempurna kerana ungkapan yang dibentuk sebenarnya adalah impak daripada untaian atau gabungan potongan-potongan perkataan dari peringkat ketiga tadi.  Dalam masa yang sama jentera penghasilan suara sudah mencapai tahap matang.  Perkara ini boleh diqiaskan dengan seseorang kanak-kanak yang sudah pandai melontar kata-kata dan dapat berinteraksi secara baik dengan persekitarannya.  Maka, ruanglingkup kehidupan menjadi semakin luas dan keinginannya bertambah.

Peringkat yang terakhir tentunya menyaksikan tahap klimaks pembentukan bahasa.  Bahasa pada ketika ini terbias pada perspektif yang lebih proaktif digabungjalin dengan beberapa penggunaan istilah ilmiah.  Seseorang pada tahap ini boleh dilabelkan sudah mencapai tahap kanak-kanak yang mula memasuki alam persekolahan.  Mereka dapat bertutur dengan baik dan menggunakan akal fikiran dalam tindak tanduknya kesan daripada proses pendidikan yang dialami samada dalam bentuk akademik mahupun syaksiah diri di sekolah apabila mula didedahkan dengan pelbagai bidang ilmu.

Tuntasnya, bahasa yang kita tuturkan pada hari ini tidak lahir dengan begitu mudah.  Sebaliknya ia sudah mengalami suatu proses dalam jangka masa yang agak panjang.  Dewasa ini, kita hanyalah ibarat orang yang mengantuk disorong bantal.  Justeru, ramai yang hanya sekadar memandang enteng tentang kewujudan sebuah bahasa.  Bayangkanlah, andai hidup tanpa bahasa, mana mungkin bumi bergemerlap dengan cahaya ilmu dan ukhwah.  Mana mungkin terbinanya izzah sebuah daulah.  Bahasa adalah pencetus ketamadunan!

Comments

Popular posts from this blog

Kata-kata Hikmah Dari Ulama' Mu'tabar

Berikut adalah kata-kata hikmah dari golongan yang boleh diambil sebagai iktibar hidup:-    kata-kata hikmah Sayidina Abu Bakar: 1.Sesungguhnya hamba itu apabila kedatangan dengan sesuatu daripada perhiasan dunia nescaya Allah memurkainya hingga dia menceraikan perhiasan itu. 2.Moga-Moga aku jadi pokok kayu direntas kemudian dimakan. 3.Dia berkata kepada para sahabat:Sesungguhnya aku telah mengendalikan urusan kamu,tetapi bukanlah aku ini orang yang paling baik di kalangan kamu maka tolonglah aku kalau aku terlaku lurus maka ikutilah aku tetapi aku menyeleweng maka betulkan aku. kata-kata hikmah Sayidina Umar: 1.Jikalau tidaklah kerana takut dihisab sesungguhnya aku perintahkan dengan membawa seekor kambing untuk dipanggang untuk kami di depan pembakar roti. 2.Barangsiapa takut kepada Allah SWT nescaya tidak dapat dilihat marahnya.Dan barangsiapa takutkan Allah,tidak sia-sia apa yang dia hendak. 3.Wahai Tuhan ,jangan Engkau menjadikan kebinasaan umat Muhammad SAW di at...

Mengenal Kembali Si Busuk Muhammad bin Abdul Wahhab

Muhammad bin Abdul Wahhab, setan berwajah manusia ini kononnya berasal dari keluarga yang mulia. Ayahnya, Syeikh Abdul Wahhab dan saudaranya, Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab, adalah dua orang yang dianggap soleh oleh pemuka-pemuka agama setempat. Berbeda dengan Muhammad bin Abdul Wahhab yang diakui sesat dan menyesatkan oleh majoriti ulama sedunia. Baca saja kitab " Fitnah al-Wahhabiyah " karya Syeikh Ahmad bin Dahlan al-Makki al-Syafi'i, sang mufti Makkah yang wafat pada tahun 1304 H. Beliau suka menyebut Muhammad bin Abdul Wahhab dengan sebutan " al-Khabits " yang artinya "Si Busuk". Syeikh Ahmad bin Dahlan al-Makki al-Syafi'i menceritakan bahwasanya Muhammad bin Abdul Wahhab sejak dini telah diprediksikan sesat oleh ayah, saudara dan guru-gurunya. Jauh sebelum Muhammad bin Abdul Wahhab meraih popularitinya di Saudi dan dunia, para ulama sekitar telah memberikan warning kepada umat agar berhati-hati darinya, dan ternyata betul apa yang mereka...

Apa Yang Dikatakan Oleh Pemimpin Dunia Tentang Islam

Lawrence Braoun berkata : "Apabila bangsa Arab sebagai basis umat Islam dan negara-negara Islam seluruh dunia bersatu, maka mereka akan membahayakan kita dan seluruh dunia. Kalau mereka tetap berpecah belah, mereka tidak punya arti dan kekuasaan apapun. Kita bebas untuk menginjak dan menyeret mereka. Karena itulah, bangsa Arab dan kaum Muslimin seluruh dunia harus tetap berpecah belah, agar mereka tetap dalam tidur dan kebodohannya." Arnold Toynbee berkata : "Sesungguhnya persatuan Islam itu ibarat orang yang sedang tidur nyenyak, namun kita harus waspada bahwa orang yang tidur itu sewaktu-waktu bisa bangun." Moroe Berger berkata : "Sejarah membuktikan bahwa kekuatan Arab berarti kekuatan Islam, maka dari itu hancurkanlah bangsa Arab, bersamaan dengan kehancurannya, hancur pula Islam di seluruh dunia." W.K. Smith (orientalis Amerika), berkata : "Apabila kaum Muslimin diberi kebebasan dalam dunia Islam, dan hidup dalam alam demokrasi, maka pasti Isla...